Arsenal Dua Manchester Garang!


ARSENAL kini lima mata selesa di tangga teratas Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Liverpool 2-0 di Stadium Emirates, malam tadi.

Dua jaringan menerusi Santi Cazorla pada minit ke-19 dan Aaron Ramsey minit ke-59 membolehkan Arsenal kini mengumpul 25 mata, lima mata mengatasi Chelsea dan Liverpool yang kekal berkongsi 20 mata.
Chelsea tewas mengejut 0-2 kepada Newcastle di St James’ Park menerusi jaringan Yoan Gouffran minit ke-68 dan Loic Remy minit ke-89.

Manchester City pula naik ke tangga keempat selepas berpesta gol membelasah Norwich 7-0 di Stadium Etihad hasil gol sendiri Bradley Johnson minit ke-16, David Silva (20), Matija Nastasic (25), Alvaro Negredo (36), Yaya Toure (60), Sergio Aguero (71) dan Edin Dzeko (86).

Southampton kekal di tangga kelima selepas seri 1-1 dengan Stoke, untuk berkongsi 19 mata dengan City.
Juara bertahan, Manchester United pula kekal di tangga kelapan biarpun berjaya menewaskan Fulham 3-1 di Craven Cottage.

United selesa mendahului tiga gol pada babak pertama menerusi Antonio Valencia minit ke-9, Robin van Persie (20) dan Wayne Rooney (22), namun bolos pada minit ke-65 menerusi jaringan Alexander Kacaniklic.

United kini mengumpul 17 mata, hanya tiga mata di belakang Chelsea dan Liverpool.

Baki tiga lagi perlawanan malam tadi menyaksikan Hull menewaskan pasukan kedua tercorot, Sunderland 1-0, West Brom menewaskan pasukan tercorot, Crystal Palace 2-0 manakala West Ham seri 0-0 dengan Aston Villa.

Dua perlawanan bakal berlangsung malam ini, Everton bertemu Tottenham, jam 9.30 malam dan Cardiff bertemu Swansea, jam 12 tengah malam.

Posting Komentar