IMPIAN pelakon popular Lisa Surihani untuk berlakon di bawah arahan suaminya, Yusry Abdul Halim akhirnya tercapai apabila namanya turut dibariskan membintangi filem terbaru KRU Studios, Cicakman 3.
Menurut Lisa, sejak sebelum berkahwin lagi dia sudah menanam hasrat untuk berlakon di bawah arahan Yusry dan tidak menyangka hajatnya itu kini dapat direalisasikan menerusi naskhah terbaru arahan pengarah terkenal itu.
“Lisa rasa teruja, sebelum Lisa berkahwin pun ‘look forward’ untuk bekerjasama dengan Yusry. Bila dapat tawaran untuk berlakon bawah arahan Yusry untuk Cicakman 3, ini macam peluang untuk kami bekerjasama bersama.
“Sebelum ini, kita bekerjasama sebagai pelakon bersama tapi kali ini seperti mana yang saya selalu nak iaitu berlakon di bawah arahan suami saya sendiri,” katanya ketika ditemui Mynewshub.my, baru-baru ini.
Sementara itu ketika ditanya kepada Yusry adakah dia akan memarahi isterinya itu sekiranya dia membuat silap semasa di lokasi penggambaran, Yusry mengatakan, “sebenarnya, sebelum ini dalam filem mana sekali pun, kalau saya marah sekalipun, saya tak marah depan kamera.
“Kita tahu kita kena jaga perasaan, jaga mood mereka (pelakon).
Jadi, saya tak pernahlah marah pelakon, kalau tegur itu secara profesionallah, takdelah kita marah-marah, maki-maki,” ujarnya yang bakal memulakan penggambaran Cicakman 3 bermula 15 Ogos ini.
Menerusi filem ini, Lisa bakal digandingkan dengan Zizan Razak yang membawakan watak Cicakman dan plotnya kali ini lebih berkisarkan kisah superhero itu selepas berumahtangga dengan isterinya, Linda lakonan Lisa.
Bagi menghidupkan watak sebegitu, Lisa dan Zizan pastinya tidak dapat lari daripada melakukan babak-babak romantik yang dituntut oleh pengarah.
Menjelaskan tidakkah Yusry akan berasa cemburu dengan babak-babak sebegitu, Lisa mengatakan, “kalau nak diikutkan sebagai seorang pelakon, Lisa harap apa-apa yang diminta oleh pengarah, Lisa dapat buat sebaik mungkin”.
Yusry pula mencelah dengan mengatakan, “sebenarnya cerita ini memang menceritakan Cicakman itu ada isteri dan anak. Romantik filem Melayu, kita berbatas, jadi macam mana romantik pun, kita tetap tidak melangkaui batasan filem Melayu”.
Buat Rumah Terbuka Di Cyberjaya
Ketika ditanya mengenai persiapan raya tahun ini, Lisa yang tahun kedua beraya sebagai isteri lebih mengutamakan persiapan untuk baju raya dan tidak mengubah dekorasi rumah seperti menukar langsir dan sebagainya.
“Raya pertama beraya di Kuala Lumpur, masing-masing semua keluarga ada di sini. Raya ketiga, kita balik rumah opah Yusry yang terletak di Gopeng, Perak,” kata Lisa mewakili suaminya.
Pasangan suami isteri sama cantik sama padan ini juga bakal mengadakan rumah terbuka bergabung bersama KRU Studios yang diadakan pada 26 Ogos ini bertempat di Cyberjaya untuk meraikan peminat, rakan-rakan dan pihak media yang telah menyokong kerjaya seni mereka selama ini.
Oleh: JULIANA JOHAR
Video: RIZA RAZAK
Video: RIZA RAZAK
Posting Komentar