Siasatan Menyeluruh Terhadap Aktiviti Mengintip


KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa Malaysia sedang menyiasat secara menyeluruh mengenai laporan terkini media berhubung dakwaan pembabitan negara lain, terutama Singapura, dalam kegiatan mengintip Malaysia.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata kerajaan sangat bimbang mengenai laporan dakwaan pengintipan oleh beberapa negara terhadap Malaysia.

Katanya jika dakwaan terbabit dapat dibuktikan, Malaysia sudah pasti menganggap perkara itu sebagai suatu yang sangat serius yang ditolak dan dikecam keras oleh kerajaan.

Kementerian akan memanggil pesuruhjaya tinggi Singapura esok untuk mendapat penjelasan berhubung dakwaan itu, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

“Keselamatan dan kedaulatan Malaysia menjadi perkara paling utama kepada kerajaan. Apatah lagi kegiatan mengintip terhadap kawan baik dan jiran yang sudah pasti tidak dapat diterima dan bertentangan dengan semangat dan komitmen dalam hubungan berjiran,” kata Anifah.

Anifah menegaskan hubungan Malaysia dan Singapura pada masa ini adalah teguh dan saling memberi manfaat, seperti yang dicerminkan menerusi hubungan baik antara kedua-dua perdana menteri dan perluasan bidang kerjasama.

Sebuah portal berita melaporkan mengenai dokumen rahsia yang dibocorkan oleh pemberi maklumat Amerika Syarikat, Edward Snowden, mendedahkan bahawa Singapura membantu kumpulan perisikan yang didakwa terbabit dalam aktiviti mengintip di Malaysia. – BERNAMA

Posting Komentar