2 Remaja Serah Diri Gara Gara Tertinggal IC


KULIM - Dua remaja menyerah diri di Balai Polis Kulim kira-kira jam 5 pagi setelah cuba melarikan diri ketika polis mengadakan pemeriksaan rambang terhadap pengguna jalan raya di Jalan Kilang Lama bermula jam 11 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, suspek berusia 19 tahun dan menaiki motosikal jenis Honda EX5 datang dari arah Jalan Tunku Putra menuju ke Jalan Kilang Lama.

Menurutnya, apabila menghampiri lampu isyarat, suspek terlihat polis sedang menahan puluhan motosikal.

"Suspek yang tidak sempat memberhentikan motosikalnya bagaimanapun turut ditahan.

"Polis kemudiannya meminta suspek menunjukkan lesen memandu, cukai jalan dan kad pengenalan. Suspek hanya memberikan kad pengenalan kerana tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh," katanya.

Katanya, melihat keadaan polis yang sibuk ketika itu, suspek kemudian melarikan diri dengan melawan arus selain mentertawakan polis.

"Mereka terlupa mengambil kad pengenalan mereka yang diserahkan kepada polis.

"Kira-kira jam 5 pagi, suspek dilihat masuk ke perkarangan Balai Polis Kulim untuk menuntut kad pengenalan. Bagaimanapun polis telah merekodkan lebih lima kesalahan dan mengeluarkan saman terhadap mereka sebelum menyerahkan kad pengenalan,” katanya. - Sinar Harian Online

Posting Komentar