3 Hospital Pengajar Lahir 7 000 Pakar Perubatan


KUALA LUMPUR – Tiga hospital pengajar universiti di bawah Kementerian Pendidikan telah melahirkan lebih 7,000 pakar dalam pelbagai bidang perubatan di negara ini, kata Datuk Seri Najib Razak.

Hospital pengajar ialah Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) di Kubang Kerian, Kelantan dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Cheras.

Perdana Menteri berkata pakar perubatan itu menyumbang dan berkhidmat dalam bidang Perubatan Dalaman, Surgeri, Obstetrik dan Ginekologi, Ortopedik, Otorinolaringologi, Oftalmologi dan Pediatrik.

“Untuk bidang kepakaran pediatrik atau kanak-kanak, ketiga-tiga hospital pengajar universiti itu telah mengtinjauankan lebih 450 pakar,” katanya ketika berucap melancarkan projek Hospital Pakar Kanak-Kanak Permata di Pusat Perubatan UKM di sini, hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga penaung Permata Negara.

Najib berkata hospital pakar kanak-kanak Permata yang pertama di negara ini itu dijangka siap pada 2017 dan bakal menjadi sebuah lagi hospital pengajar untuk melatih lebih ramai doktor dan pakar kanak-kanak serta sub-kepakaran dalam pelbagai bidang disiplin pediatrik.

Hospital itu akan mempunyai 135 pakar dan pegawai perubatan serta lebih 1,700 kakitangan sokongan.
Selain itu, Perdana Menteri berkata seramai 12,000 doktor perubatan telah dilahirkan di 17 Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta lain yang menawarkan program Ijazah Doktor Perubatan.

Najib juga berkata nisbah doktor dan penduduk di negara ini telah mencecah 1 doktor untuk 800 penduduk dan ia dijangka mencapai nisbah 1:600 pada 2015, iaitu piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kerajaan telah melaksanakan sistem perkhidmatan kesihatan yang amat komprehensif, termasuk perkhidmatan perbidanan luar bandar, klinik desa, klinik kesihatan, hospital daerah, hospital besar dan hospital tertiari seperti Hospital Kuala Lumpur,” katanya. – BERNAMA

Posting Komentar