Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim di depan orang ramai malam tadi dan meminta beliau tidak lagi berbangga dengan lebihan kewangan yang diperolehi tetapi gagal dalam membelanjakannya dengan baik.
Sebaliknya, beliau memuji Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang disifatkannya berjaya membawa Pulau Pinang mencapai tahap prestasi terbaik.
Anwar mendakwa, setakat ini Pulau Pinang di bawah pimpinan Lim menunjukkan prestasi yang membanggakan berbanding Menteri Besar Selangor ekoran kelemahan yang dilihat masih belum berjaya diatasi dalam pentadbiran Khalid.
"Saya puji Lim Guan Eng yang membawa Pulau Pinang pada tahap pretasi terbaik bagaimanapun tidak kepada Khalid kerana sudah masanya Selangor tidak lagi berbangga dengan lebihan yang diperolehi.
"Kita tidak ada masalah dengan pengurusan beliau, tinjauan pendapatan negeri juga membanggakan namun terdapat beberapa isu seperti pelajar tidak dapat menyambung pelajaran ke pengajian tinggi selain segelintir rakyat miskin yang tidak mampu memiliki rumah dan perkara itu masih sukar ditangani sehingga kini.
"Apa yang lebih penting ialah pengurusan cekap, kita mahukan perubahan jentera perbandaran seperti Majlis Bandaraya Shah Alam kerana masih banyak aduan orang ramai dan itu yang kita mahu atasi," katanya dalam forum laporan Ketua Audit Negara di Dewan Sivik Majlis Bandaran Pulau Pinang (MBPJ) Petaling Jaya, malam tadi.
Anwar berkata, beliau sudah beberapa kali menyuarakan kebimbangannya mengenai perkara tersebut kepada Menteri Besar itu.
"Kita sudah melepasi fasa membuktikan kepada rakyat mengenai kemampuan negeri Pakatan Rakyat dan kini melalui perubahan rakyat ingin melihat bagaimana kita melaksanakannya," katanya.
Sebelum ini, Anwar menghantar Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail untuk menyelesaikan beberapa perkara yang tidak disenangi beliau terhadap pentadbiran Khalid.
Bagaimanapun, ia dikatakan tidak berjaya.
Saifudin dilantik menjadi Ketua Staff di Pejabat Menteri Besar Selangor Julai lalu.
Pada masa sama, Khalid juga melantik beliau sebagai pegawai yang mengendalikan projek Pembangunan Desa untuk mengendalikan lima kawasan Parlimen di utara Selangor yang masih bersama Umno.
Dalam pilihan raya umum lalu, Pakatan hanya tewas di lima Parlimen di Selangor yang terletak di utara negeri maju itu dan digolongkan dalam kawasan luar bandar.
Kawasan itu adalah Tanjung Karang, Sabak Bernam, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sungai Besar. – 12 Oktober, 2013. The Malaysian Insider
Posting Komentar